Kepada;

 

TYT Setiausaha Agung

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,

New York,

AMERIKA SYARIKAT

 

Melaui;

 

Wakil PBB di Malaysia,

Wisma UN,

Jalan Dungun, Damansara,

KUALA LUMPUR                                                                             9 OKTOBER 2001

 

Tuan Yang Terutama,

 

MEMORANDUM BANTAHAN KEGAGALAN PBB MENANGANI KEGANASAN AS DI AFGHANISTAN

 

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengutuk keras kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menangani keganasan antarabangsa yang berlaku termasuk membiarkan Amerika Syarikat (AS) melakukan keganasan terbesar alaf ini di Afghanistan. Bagi DPP Pusat, keganasan dan serangan yang dilakukan oleh AS dan Britain ke atas Afghanistan adalah bukan bertujuan untuk memerangi pengganas tetapi lebih untuk membunuh umat Islam yang tidak berdosa.

 

DPP Pusat memandang berat tindakan ganas AS ini kerana serangan yang dilancarkan ke atas Afghanistan tanpa disertakan dengan bukti yang kukuh tentang tuduhan yang dilemparkan kepada Osama bin Ladin. AS dengan segera menuduh Osama bin Ladin selepas kejadian serangan ke atas New York dan Washington September lalu sedangkan Osama bin Ladin mendakwa bahawa dia tidak terlibat dalam serangan tersebut. Tanpa membawa bukti yang kukuh dan dengan tidak mendapat pengesahan daripada Majlis Keselamatan PBB, AS melakukan keganasan di Afghanistan atas nama masyarakat antarabangsa untuk memerangi keganasan.

 

DPP Pusat juga mempertikaikan kenyataan Setiausaha Agung PBB yang mengakui bahawa tindakan AS sebagai betul kerana selaras dengan resolusi PBB untuk membenteras pengganas. Adakah PBB begitu dangkal menerima pendekatan ganas untuk memusnahkan pengganas. Jika benar AS ikhlas hendak menghapuskan pengganas, maka mengapa AS tidak menyerang Israel yang mengganas di Palestin, atau menyerang Russia yang mengganas di Chechen atau menyerang Serbia yang mengganas di Bosnia dan Kasova atau menyerang India yang mengganas di Khasmir? Ini membuktikan bahawa AS bukan negara yang mencegah keganasan tetapi merupakan agen utama keganasan.

 

PBB sekali lagi  membiarkan AS melakukan keganasan ke atas Vietnam, Cuba, Korea, Libya, Iraq, Somalia, Sudan, Panama, Nicaragua dan sebagainya. PBB tidak pernah membuat kenyataan kepada antarabangsa bahawa resolusi PBB untuk membendung keganasan perlu dikuatkuasakan ke atas AS kerana keganasan yang dilancarkan oleh mereka. PBB juga tidak pernah membuat kenyataan yang sama ke atas negara haram Israel dan Russia yang juga turut melakukan kerganasan. Tetapi dengan tiba-tiba PBB membuat kenyataan membenarkan tindakan ke atas Afghanistan yang tidak terlibat langsung dan juga Osama bin Ladin yang tidak dibukti keterlibatannya.

 

DPP Pusat juga mempersoalkan kenyataan PBB bahawa serangan ganas bertujuan untuk membentuk sebuah kerajaan baru di Afghanistan. DPP Pusat mempersoalkan apakah menjadi tanggungjawab PBB untuk menentukan kerajaan di sesebuah negara. Bukankah Afghanistan itu sebuah negara yang berdaulat bahkan tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa dalam dunia moden. Hak menentukan kerajaan sesebuah negara adalah milik rakyatnya, bukan hak PBB. PBB tidak perlu mencampuri urusan yang tidak ada kaitan dengannya, sebaliknya PBB hendaklah menumpukan kepada tugas dan tanggungjawabnya sahaja. Adakah PBB merasakan menjadi tanggungjawab antarabangsa untuk menukar sesebuah kerajaan, sekiranya sesebuah kerajaan di negara tertentu tidak menyokong AS dan sekutunya lagi.

 

DPP Pusat juga mendesak PBB supaya menyelesaikan segera keganasan yang berlaku di seluruh dunia terutama di Palestin yang menjadi punca kepada keganasan antarabangsa. PBB juga mesti mengisytiharkan kepada dunia bahawa AS dan Israel adalah dua buah negara pengganas utama dunia yang telah menyebabkan huru-hara berlaku di seluruh dunia hari ini. PBB tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan nama baik masyarakat antarabangsa terus dinodai oleh kerakusan dan kezaliman AS dan sekutunya. Jika PBB gagal bertindak segera, maruah dan nama baik PBB akan tercemar dan mungkin masyarakat antarabangsa tidak akan menghiraukan PBB lagi.

 

 

 

Sekian, terima kasih.

 

 

KAMI MAHUKAN KEAMANAN DAN KEADILAN

HAPUSKAN KEGANASAN DAN KEZALIMAN AMERIKA

 

 

Yang Menjalankan Amanah,

 

 

 

 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Ahli Parlimen Malaysia